Tuesday, April 6, 2010
Program Permuafakatan Ibubapa / Penjaga Murid LINUS & Pemulihan
Tarikh : 3 April 2010 ( Sabtu )
Tempat : Dewan Sinar, SK Seksyen 9, Shah Alam
Program ini mula dilaksanakan pada tahun 2010 melibatkan murid Tahun 1 di sekolah rendah (Kohort Pertama). Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha mengatasi masalah literasi dan numerasi di kalangan murid sekolah rendah.
Dalam konteks pelaksanaan LINUS, kemahiran asas yang disenaraikan terbahagi kepada dua iaitu kemahiran teras dan kemahiran lanjutan. Kemahiran teras merupakan kemahiran wajib yang perlu diajar kepada murid untuk membolehkan mereka menguasai kemahiran yang paling penting dalam membaca dan menulis. Kemahiran ini terdiri daripada kemahiran mengenal, membaca dan menulis huruf “a” hingga “z”, kemahiran membentuk suku kata daripada huruf konsonen dan vokal dan juga kemahiran membina, membaca, menulis perkataan yang terdiri daripada suku kata yang terbuka dan tertutup.Murid yang telah menguasai kemahiran membaca huruf, suku kata dalam kemahiran teras ini akan dapat mempelajari dan menguasai kemahiran lanjutan pula bertujuan untuk membekalkan murid dengan kemahiran asas tambahan yang diperlukan bagi membolehkan murid membaca dan menulis dengan baik dan berkesan. Guru boleh memilih dan menentukan kemahiran mengikut kesesuaian dan kemampuan murid yang mengikuti program ini.
Bagi membolehkan murid cepat menguasai kemahiran yang diajar, bantuan ibu bapa juga adalah perlu bagi membimbing anak-anak agar lebih cepat menguasai pembelajaran dan bukan sahaja diserahkan kepada guru semata-mata. Lantaran itu wajarlah program ini dilaksanakan untuk sama-sama berganding bahu untuk mempastikan murid-murid tahun Satu dapat membaca dan menulis dengan baik.